Saintis kenal pasti virus punca radang paru-paru.


KUALA LUMPUR: Saintis mengenal pasti penyakit radang paru-paru yang menyebabkan 10 orang mati di seluruh dunia sehingga semalam berpunca daripada virus paramyxoviridae, satu famili dengan virus Nipah, pembawa penyakit Japanese Encephalitis (JE).

Akhbar The Standard, Hong Kong, melaporkan virus itu dikesan oleh sekumpulan saintis negara itu.

Jurucakap pasukan saintis itu, Profesor John Tam dari Hospital Prince of Wales bagaimanapun berkata, penemuan itu tidak menjanjikan harapan cerah untuk pesakit sembuh tetapi mengesahkan rawatan yang diberikan kepada pesakit terbabit ketika ini bertepatan.

Bagaimanapun, katanya, lebih banyak ujian harus dilakukan.

Ketika ini, saintis di seluruh dunia menggunakan gabungan antivirus dan steroid untuk merawat kumpulan pesakit terbabit.

Namun, tidak semua pesakit menunjukkan tindak balas positif.

Selain itu, saintis juga mengeluarkan garis panduan kepada orang ramai bagi mencegah jangkitan penyakit itu seperti menjauhi pesakit di samping mendapatkan rawatan segera jika ada simptom seperti kesukaran bernafas, selsema, demam panas mendadak, sakit otot, sakit kepala dan sakit tekak.

Saintis, termasuk dari Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dilaporkan bertungkus-lumus mencari punca penyakit itu yang setakat ini menjangkiti kira-kira 219 penduduk di seluruh dunia, dengan empat daripadanya maut, berdasarkan perangkaan WHO dari Februari hingga kelmarin.

Berdasarkan laporan WHO, dua kematian dilaporkan di Kanada dan masing-masing seorang di Hong Kong dan Vietnam. Selain itu, kes dilaporkan berlaku di Hong Kong dengan 123 kes, Vietnam (57 kes), Singapura (23 kes) dan Kanada (lapan kes).

Selain itu, Taiwan (tiga kes), Jerman (dua kes) dan masing-masing satu kes di Thailand, Brunei, Slovenia dan United Kingdom. Perangkaan bagaimanapun tidak memberikan sebarang angka di China.

Berikutan penularan penyakit atau lebih dikenali sebagai severe acute respiratory syndrome (SARS) itu, pegawai WHO dijadualkan ke China bagi mengenal pasti sama ada penyakit itu mempunyai kaitan dengan penyakit radang paru-paru yang menyerang lebih 300 penduduk di China serta menyebabkan lima maut, November lalu.

Sementara itu, WHO menerusi laman webnya menafikan penularan wabak itu mempunyai kaitan dengan keganasan biologi (bioterrorism).

WHO juga menyebut penyakit SARS tidak cenderung untuk berjangkit jika langkah berjaga-jaga diambil. Lebih 90 peratus daripada kes dilaporkan sehingga 15 Mac lalu membabitkan kakitangan kesihatan, yang sepatutnya boleh melindungi diri mereka daripada dijangkiti dengan menggunakan alat dan teknik perlindungan sewajarnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Suleiman Mohamed, berkata status dua rakyat Malaysia yang kini dikuarantin kerana disyaki mangsa pertama jangkitan itu di negara ini masih belum disahkan sama ada dijangkiti virus terbabit atau menghidap radang paru-paru biasa.

Katanya, kementerian sedang meneliti simptom yang ditunjuk kan kedua-dua pesakit yang masing-masing baru pulang dari Hanoi dan Singapura, dua lokasi yang mencatatkan kes penyakit berkenaan.

Beliau berkata, walaupun ancaman penyakit itu tersebar di sini tidak mencemaskan setakat ini, ia dijangka boleh berlaku bila-bila saja kerana kebanyakan negara berkongsi sempadan sudah mencatatkan kes dan penyakit itu sukar dihalang memasuki kawasan negara.

“Bagaimanapun, ini tidak bermakna rakyat perlu cemas atau panik kerana keadaan terkawal. Sebarang kes jangkitan penyakit yang masih belum sah puncanya itu dipantau secara teliti oleh Bilik Kawalan Penyakit Berjangkit.

“Kementerian menerusi garis panduan yang diterima daripada WHO tidak memandang remeh perkara ini dan memberi perhatian secara bersungguh-sungguh,” katanya.

Beliau berkata, buat masa ini orang ramai tidak perlu mengambil vaksin sebagai langkah pencegahan kecuali mereka yang akan ke luar negara terutama ke negara yang disahkan mempunyai kes penyakit itu termasuk negara jiran.

“Ramai orang membuat lawatan harian ke Singapura dan Thailand, sebab itu sukar untuk halang ia daripada menjangkiti rakyat Malaysia.

“Langkah memberi suntikan vaksin di pintu masuk terhad. Lagi pun, sebarang langkah berkenaan akan menimbulkan rasa cemas seluruh negara sedangkan kita belum sampai ke tahap kecemasan itu,” katanya.

Pengerusi Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM), Datuk Dr Ridzwan Abu Bakar, berkata kakitangan hospital digesa mengamalkan rawatan dengan halangan termasuk meletakkan pesakit disyaki di wad asing, basuh tangan dan tukar pakaian selepas merawat bagi mengelakkan jangkitan.

Katanya, maklumat mengenai jangkitan ini juga perlu disebarkan kepada orang ramai memandangkan simptom yang ditunjukkan oleh pesakit terlalu am kecuali kesukaran bernafas

Source from http://www.jphpk.gov.my/Malay/Mac03%2020.htm

Comments

Popular Posts